Kitab ‘Umdah al-Qari Syarh Shahih al-Bukhari
📖 Nama Kitab : Umdah al-Qari Syarh Shahih al-Bukhari (عمدة القاري شرح صحيح البخاري)
Merupakan kitab syarah bagi kitab Shahih al-Bukhari hasil karya al-Imam Badr al-Din al-‘Aini (855H). Beliau seorang ulama bermazhab Hanafi yang hidup sezaman dengan al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H)
Dalam kitab ‘Umdah al-Qari ini, Imam al-‘Aini telah mengkritik kitab Fath al-Bari (فتح الباري) karya Ibn Hajar al-‘Asqalani. Malah kitab ini dikarang sebagai satu kritikan terhadap Fath al-Bari yang dianggap oleh al-‘Aini sebagai lebih cenderung menyokong pendapat mazhab Syafi’i dalam sesuatu isu yang melibatkan pandangan fikah.
Dalam ‘Umdah al-Qari, al-Aini juga mengkritik khutbah Ibnu Hajar dalam muqadimah Fath al-Bari. Ibn Hajar al-‘Asqalani telah menjawab kritikan tersebut dalam kitabnya Intiqadh al-I’tiradh (انتقاض الاعتراض), namun beliau tidak sempat menyempurnakannya, kerana meninggal lebih awal. Walau bagaimanapun, para ulama menilai bahawa jawapan Ibnu Hajar al-'Asqalani terhadap kritikan itu amat kuat.
Secara fizikalnya, kitab ini ‘Umdah al-Qari lebih besar dan tebal, jika dibandingkan dengan Fath al-Bari. Walau begitu, sebagian ulama menilai bahawa al-‘Aini ketika menyusun kitab ‘Umdah al-Qari juga banyak merujuk dari Fath al-Bari. Oleh sebab itulah, Syeikh Zahid al-Kautsari, ulama Daulah Utsmaniyah yang bermazhab Hanafi berpendapat bahawa ‘Umdah al-Qari lebih lengkap dari Fath al-Bari.


